Cetakan

MAKLUMAT MENGENAI PROGRAM PENGAJIAN IJAZAH PERTAMA

 

 

LATARBELAKANG DAN SEJARAH

Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) ditubuhkan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai, 2001. Ia bertujuan melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi memenuhi dan menyokong Pelan Perindustrian Negara. Pembelajaran dilaksanakan secara 'lab-intensive' bagi menghasilkan jurutera yang berkebolehan dan mampu mengaplikasikan sebarang konsep teori. Program akademik UniMAP adalah berasaskan 60% pengajaran dalam bentuk praktikal dan pendedahan industri dan 40% dalam bentuk kuliah formal. Kurikulum yang disediakan telah direkabentuk agar ia setara dengan mana-mana program kejuruteraan yang diiktiraf.


MISI UNIMAP

Merealisasikan aspirasi negara dan menyumbang kepada ketamadunan dunia.


VISI UNIMAP

Menjadi institusi akademik dan penyelidikan yang bertaraf dunia bagi menjana pemimpin terbilang negara.


KEDUDUKAN SEKARANG

Kampus tetap UniMAP adalah di Pauh seluas (1000 ekar) dan di Sg. Chuchuh seluas (300 ekar) dan masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP adalah merupakan kampus yang bersifat bertaburan (distributed). UniMAP kini beroperasi di lokasi-lokasi seperti berikut:

 

Kangar:  Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Pembangunan, Jabatan Keselamatan, Dewan/Bilik Kuliah dan Makmal.

 

Kubang Gajah:  Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Dewan Kuliah dan Makmal.

 

Jejawi :  Pusat-pusat Pengajian, Dewan/Bilik Kuliah dan Makmal.

 

Bintong:  Kolej Kediaman

 

Kuala Perlis:  Kolej-Kolej Kediaman, Pusat Kejuruteraan, Pusat Kerjasama Industri, Bilik Bersih (Clean Room), Dewan Kuliah dan Makmal.


MATLAMAT DAN FALSAFAH

Program Sarjana Muda Kejuruteraan di UniMAP mempunyai matlamat untuk menghasilkan graduan kejuruteraan yang berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik yang berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. Program kejuruteraan yang dijalankan di Universiti ini menitikberatkan kepada pendekatan 'lab-intensive', iaitu dengan memberi lebih penekanan kepada aspek amali. Kursus-kursus yang ditawarkan juga menyatukan teori dengan amali mengikut keperluan industri. Semasa mengikuti program akademik, pelajar juga akan dibekalkan dengan kemahiran berkomunikasi, keusahawanan, pengurusan, perakaunan, ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Pelajar juga diwajibkan mengikuti kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Ini bertujuan untuk melahirkan jurutera yang bukan sahaja cekap dalam bidang kejuruteraan yang mereka ikuti, tetapi juga berkebolehan untuk berdikari serta mempunyai sikap yang mulia dan terpuji.


SISTEM PENGAJIAN

UniMAP mengamalkan sistem semester iaitu satu Sidang Akademik dibahagikan kepada dua (2) semester yang tiap-tiap satunya mengambil masa sembilan belas (19) minggu. Penilaian akademik pelajar-pelajar adalah dilakukan sepanjang semester dan gred-gred pencapaian dari tahun pertama pengajian sehingga tahun akhir pengajian akan diambil kira untuk menentukan pencapaian keseluruhan pelajar di akhir pengajian.


PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

Universiti Malaysia Perlis menawarkan empat belas (14) Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan melalui lapan (8) buah Pusat Pengajian seperti berikut :

1)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mikroelektronik)-RK05

Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dengan kebolehan mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di negara kita. Graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang rekabentuk dan fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di bidang fabrikasi litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat meyakinkan.

 

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik)-RK02

Program ini telah diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya saing dalam industri semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan akan boleh menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik. Dengan kelebihan kemahiran secara 'lab-intensive', para graduan akan dapat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat, sebaik sahaja berkhidmat sama ada di sektor industri mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

2)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Komputer)-RK20

Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta cekap dalam merekabentuk perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem komputer. Ia selaras dengan pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia. Dengan berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara 'lab-intensive', para graduan akan mempunyai keyakinan yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat sama ada dalam sektor industri atau R&D ke arah merealisasikan wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.

 

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Perhubungan)-RK53

Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan profesional yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan perhubungan yang berkait rapat seperti industri tanpa kabel, gelombangmikro, fiber optik, satelit dan elektronik perhubungan. Graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan berpeluang menceburi industri telekomunikasi negara yang kini pesat membangun. Para lulusan juga mempunyai pilihan kerjaya yang luas dalam sektor pengendalian perkhidmatan telekomunikasi sama ada di sektor industri mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta firma-firma perundingan.

 

3)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem Elektrik)-­ RK54

Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama iaitu sistem kuasa, mesin elektrik dan kejuruteraan voltan tinggi. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut meliputi rekabentuk mesin elektrik dan teknik-teknik kawalan. Pelajar juga akan mempelajari bidang kejuruteraan voltan tinggi bagi mengukuhkan pengetahuan mereka. Secara umumnya bidang kejuruteraan sistem elektrik mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga elektrik.

 

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik Industri) ­-RK45

Program ini tertumpu kepada proses dan teknik kawalan mesin industri yang menggunakan litar elektronik. Pelajar yang mengambil kursus ini akan mempelajari aplikasi dan kawalan litar-litar elektronik di dalam sistem pengaturan, kawalan motor dan kawalan proses. Secara umumnya, bidang elektronik industri merangkumi skop yang luas terutamanya di dalam penggunaan robot, pemacu halaju berubah, pengawal mesin PLC dan sebagainya.

4)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bahan) - RK12

Program ini bertujuan melahirkan jurutera bahan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan tinggi terutama dalam bidang asas sains bahan, sifat-sifat bahan, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan iaitu terdiri daripada semikonduktor, superkonduktor, seramik, polimer dan komposit yang amat diperlukan dalam usaha menghasilkan produk dengan kebolehpercayaan yang tinggi di dalam lapangan automotif, penerbangan, aeroangkasa dan elektronik.

 

Sejajar dengan Pelan Pendidikan 2001-2010, program ini bertujuan menjayakan hasrat negara untuk menghasilkan jurutera bahan yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi kearah mencapai tahap negara maju sepenuhnya.

 

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Metalurgi)-­ RK56

Program ini bertujuan untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang sangat tinggi terhadap jurutera metalurgi di dalam sektor industri pengekstrakan logam daripada bijih serta pemprosesan logam seperti penggelekan, penyemperitan dan penuangan. Keadaan ini juga disokong oleh pertumbuhan pesat sektor industri besi dan keluli itu sendiri dalam menampung kepesatan pembangunan negara seperti mana respon yang dibuat oleh MISIF (Malaysian Iron Steel Industries Federation). Selain itu, perkembangan kejuruteraan dalam bidang ujian tak musnah turut menuntut keupayaan jurutera metalurgi yang berkemahiran tinggi dalam usaha menghasilkan produk bermutu pada kos yang optimum.

5)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Pembuatan) -­ RK13

Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan mahir dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga. Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan kursus ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.

 

Graduan jurusan Kejuruteraan Pembuatan mempunyai pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang teknikal, pengurusan industri dan teknologi. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Rekabentuk Produk) – RK84

Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Rekabentuk Produk. Para graduan juga akan diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional.

 

Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di dalam bidang asas teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, reka bentuk, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti di dalam industri automotif, kapal terbang, aeroangkasa, elektronik dan sebagainya.

 

Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah memberangsangkan.

 

6)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekatronik)-­ RK24

Program ini bertujuan melahirkan tenaga profesional yang mahir dan mempunyai semangat profesionalisme yang tinggi serta mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik. Justeru itu, struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’ agar pelajar mempunyai kebolehan untuk merekabentuk, mengendali dan menyelenggarakan peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal & kawalan, perisian komputer dan teknologi maklumat. Graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan atau badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan, pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan.

b.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) – RK04

Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir di peringkat iktisas serta  mempunyai semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

 

Struktur kurikulum juga dibentuk dengan memberi penekanan secara ‘lab-intensive’ agar para graduan mempunyai kebolehan serta kepakaran dalam merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu menadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi. Selain daripada itu, para graduan diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal alam kerja sebenar di industri .

 

Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri pembuatan, pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun dan lain-lain. Graduan juga bakal memperolehi kompetensi ilmu asas ‘broad-based knowledge’ yang perlu dimiliki setelah tamat kursus. Graduan juga berpeluang menjadi perekabentuk dan pembangun segala aspek yang berkaitan mekanikal, thermal, aliran bendalir serta membangun produk-produk kejuruteraan dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan bidang elektronik, mikropemproses, sistem kawalan dan bidang mekatronik.

 

 

7)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses

 

a.       Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bioproses) RK28

      Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional serta mempunyai pengetahuan        yang kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses dan juga bidang berkaitan seperti bioteknologi yang           semakin berkembang selaras dengan pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk   berdepan dan menyelesaikan masalah kejuruteraan, terutamanya kejuruteraan bioproses. Disamping           itu, graduan yang dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara menjadikan bidang bioteknologi sebagai      suatu bidang dalam penjanaan sektor ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi         bioproses yang merupakan teras dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil    penyelidikan bioteknologi.

 

      Struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-    intensive’. Lebih kurang 60% dari masa pertemuan merupakan aktiviti praktikal yang merangkumi            amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri dan projek yang         berlandaskan rekabentuk atau penyelesaian masalah teknologi. Para graduan mempunyai prospek          pekerjaan yang luas di mana keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan       bioproses amat tinggi selaras dengan matlamat kerajaan untuk memajukan gagasan LembahBio      Malaysia yang akan dibina di Putrajaya kelak.

8)      Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

 

a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Alam Sekitar) – RK07

Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan juga diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional. Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar boleh dikaitkan dengan kurikulum yang dibina berpandukan falsafah pencegahan penjanaan sisa/sisa minuman dan pendedahan pelajar kepada aspek kejuruteraan sistem sekitaran (termasuk teknologi elektrik/ elektronik/mekanikal/komputer instrumentasi/kawalan proses dan informatik sekitaran) serta kurikulum yang holistik dan unik.

 

Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah luas kerana mereka dilatih             secara multidisiplin yang melibatkan kajian mikrobiologi, kimia, ekologi selain dari prinsip-prinsip             kejuruteraan. Antara sektor-sektor yang menawarkan peluang pekerjaan adalah seperti industri-industri             berasaskan komoditi, industri petrokimia, industri kimia, industri olahan air, air sisa, sisa pepejal, sisa             berbahaya, industri pemprosesan dan pembuatan, institusi-institusi penyelidikan dan pembangunan dan             pendidikan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, JPS dan JKR, badan-badan        berkanun seperti MARDI, PORIM, SEDC, NIOSH dan lain-lain serta NGO sekitaran dalam dan luar       negara.

 


PUSAT-PUSAT AKADEMIK

Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah, terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:

 

1)      Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan

Pusat ini menawarkan kursus-kursus Keperluan Universiti seperti Matematik Kejuruteraan, Kemahiran Komunikasi dan IT, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Hubungan Etnik, Keusahawanan Kejuruteraan, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Jurutera Dalam Masyarakat, Kemahiran Berfikir, kursus-kursus opsyen seperti Gelagat Organisasi Dalam Kejuruteraan, kursus-kursus Ko-Kurikulum dan lain-lain lagi.

 

2)      Pusat Kerjasama Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)

Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Program Syarahan Industri (InTeLect), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.

 

3)      Pusat Kejuruteraan

Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program kejuruteraan yang dijalankan pada dasarnya menitikberatkan kepada kaedah 'lab-intensive', maka penekanan yang lebih diberikan kepada amalan praktikal secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal PCB, Makmal Teknologi Mikropemproses, Makmal Asas Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Makmal Kejuruteraan Pembuatan, Pusat Pengajaran Fabrikasi IC dan Makmal ICT.

 

 

 

MAKLUMAT LANJUT

 

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di http://www.unimap.edu.my/ atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Bahagian Kemasukan) seperti di alamat di bawah:

 

Jabatan Pendaftar

Bahagian Pengurusan Akademik

Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Universiti Malaysia Perlis
Tingkat 1, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Jalan Bukit lagi
01000 Kangar, Perlis

Tel: 04-979 8706/8701/8702/8008 (Talian Am)

Faks: 04-979 8703

 

 

 

 

BIL

 

 

Kelayakan Minimum STPM

(i)

Program Pengajian

(ii)

Kod

(iii)

Tempoh Pengajian

 

 

 

 

 

Syarat Am Universiti

 

Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan baik;


Lulus dengan Kepujian dalam Bahasa Melayu/ Bahasa Malaysia di peringkat SPM/setaraf;

 

Lulus peperiksaan STPM dengan sekurang-kurangnya:

 

·   Gred C (NGMP 2.00) mata pelajaran Pengajian Am;

 

   dan

 

·   Gred C (NGMP 2.00) dua (2) mata pelajaran lain.

 

dan

 

Telah mengambil Malaysian University English Test (MUET).

 

ALIRAN SAINS

01

 Kejuruteraan Elektronik
RK02
8 semester

 


Memenuhi Syarat Am Universiti
 serta
 KEPERLUAN KHAS PROGRAM

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam mana-mana dua (2) mata pelajaran seperti berikut :

·         Fizik/Kimia          

·         Matematik T/Matematik Lanjutan T

Calon yang menggunakan kelayakan mata pelajaran Kimia perlu lulus dengan kepujian dalam mata pelajaran Fizik di peringkat SPM.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

02

Kejuruteraan Mikroelektronik
RK05
8 semester

 

03

Kejuruteraan Pembuatan
RK13
8 semester

 

04

Kejuruteraan Komputer
RK20
8 semester

 

05

Kejuruteraan Elektronik Industri
RK45
8 semester

 

06

Kejuruteraan Perhubungan
RK53
8 semester

 

07

Kejuruteraan Sistem Elektrik
RK54
8 semester

 

08

Kejuruteraan Metalurgi
RK56
8 semester

 

09

Kejuruteraan Rekabentuk Produk
RK84
8 semester

 

10


Kejuruteraan Mekatronik
RK24
8 semester

 

 


Memenuhi Syarat Am Universiti
 serta
 KEPERLUAN KHAS PROGRAM

 

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (NGMP 2.33) dalam mana-mana dua (2) mata pelajaran seperti berikut :

 

·         Fizik/Kimia

·         Matematik T/Matematik Lanjutan T

 

Calon yang menggunakan kelayakan mata pelajaran Kimia perlu lulus dengan kepujian dalam mata pelajaran Fizik di peringkat SPM.

 

 

11

 

Kejuruteraan Mekanikal
RK04
8 semester

 

 

 

12


Kejuruteraan Bahan
RK12
8 semester

 


Memenuhi Syarat Am Universiti
 serta
 KEPERLUAN KHAS PROGRAM

 

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam mana-mana dua (2) mata pelajaran seperti berikut :

 

·         Fizik/Kimia/Biologi

·         Matematik T/Matematik Lanjutan T

 

 

13

 

Kejuruteraan Bioproses
RK28
(8 Semester)

 


Memenuhi Syarat Am Universiti
 serta
 KEPERLUAN KHAS PROGRAM

 

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (NGMP 2.33) dalam mana-mana dua (2) mata pelajaran seperti berikut :

 

·         Fizik/Kimia/Biologi

·         Matematik T/Matematik Lanjutan T

 

 

14

 

Kejuruteraan Alam Sekitar

RK07

(8 Semester)

 

 

 

Cetakan